TERKINI:

Wanita ditemui meninggal dunia dalam rumah sewa


PENAMPANG: Seorang wanita warga asing ditemui meninggal dunia di dalam unit pangsapuri yang didiaminya di Jalan Penampang Lama, di sini, selepas gagal dihubungi majikannya sejak pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam pada 30 Jun lalu, mangsa berusia 42 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut ditemui tidak bernyawa selepas polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuka pintu kediamannya secara paksa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berkenaan pada malam kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati majikan mangsa pergi ke kediaman wanita itu selepas gagal menghubunginya sejak pagi, namun mendapati pintu rumah berkunci dan tiada sebarang maklum balas.

"Berikutan bimbang dengan keselamatan mangsa, pihak polis bersama JBPM bertindak membuka pintu rumah sebelum menemui mangsa dalam keadaan sudah meninggal dunia.

"Siasatan turut mendapati mangsa sebelum ini memaklumkan kepada majikannya bahawa dia bercuti pada 29 Jun dan dijangka kembali bekerja pada 30 Jun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.

"Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut," katanya.

Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW