TERKINI:

Had pembelian diesel di Sabah, Sarawak, Labuan dimansuhkan mulai hari ini

KOTA KINABALU: Had pembelian diesel sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter bagi kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dimansuhkan sepenuhnya berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup(KPDN), Datuk Azman Adam memaklumkan keputusan itu dibuat susulan pembatalan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026.

Menurutnya, pembatalan arahan tersebut adalah susulan pengumuman Perdana Menteri pada 21 Jun lalu berhubung penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter.

“Selain itu, pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak yang bermula satu Julai.

"Sehubungan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut," katanya dalam satu kenyataan KPDN.

Beliau berkata, mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan diyakini mampu memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.

Beliau turut menyeru semua pihak mematuhi sepenuhnya mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW