TAWAU: Tindakan seorang pembantu kedai melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas terbabit kemalangan membawa padah apabila dia didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan kejadian itu.
Pada prosiding sama, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara seminggu terhadap seorang lelaki berusia 43 tahun selepas didapati bersalah membuat laporan palsu kononnya dia pemandu sebenar kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tersebut.
Bagi tertuduh pertama, Foo Vun Yen, 20, mahkamah memerintahkan dia membayar denda RM7,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu tanpa kecermatan dan perhatian sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Megah Jaya pada 28 Mei 2026 kira-kira jam 3.30 pagi.
Dia turut dikenakan denda RM2,000 bagi kesalahan gagal berhenti di tempat kejadian dan RM2,000 lagi kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh ditetapkan, masing-masing mengikut Seksyen 43(1), Seksyen 52(1) dan Seksyen 52(2) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh diendorskan atas sabitan tersebut.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu seorang diri dari arah Taman Shangrila Park menuju Taman Megah Jaya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik.
Tertuduh kemudiannya melarikan diri ke Kuala Lumpur sebelum kembali ke Tawau selepas diarahkan keluarganya untuk membuat laporan polis.
Sementara itu, tertuduh kedua, Mohamad Amin Suamno, 43, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM2,000 selepas dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.
Kes berkenaan terbongkar selepas siasatan polis mendapati tertuduh bersetuju mengaku sebagai pemandu sebenar selepas diminta oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Acin’ dengan janji wang tunai RM500, sedangkan dia mengetahui pengakuan tersebut adalah tidak benar.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Tawau.
.png)