TERKINI:

Nicholas Ban: Hormati hak autonomi imigresen Sabah, jangan cepat menuduh tanpa bukti

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Liberal Demokratik (LDP), Nicholas Ban, berkata isu larangan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi, ke Sabah perlu dilihat secara rasional berdasarkan undang-undang, bukannya dipolitikkan atau dijadikan asas untuk menuduh Kerajaan Negeri serta Ketua Menteri tanpa bukti.

Beliau berkata, Sabah mempunyai kuasa autonomi imigresen yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan. Kuasa tersebut diwujudkan bagi melindungi keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan negeri.

"Sebarang keputusan berkaitan kemasukan ke Sabah dilaksanakan mengikut proses yang diperuntukkan di bawah undang-undang serta melalui penilaian pihak berkuasa yang berkaitan. Oleh itu, tidak wajar mana-mana pihak terus membuat kesimpulan bahawa keputusan tersebut merupakan arahan langsung Ketua Menteri atau Kerajaan Negeri tanpa sebarang pengesahan rasmi,” katanya.

Nicholas Ban menegaskan bahawa setiap tuduhan hendaklah disokong oleh fakta yang boleh dibuktikan, bukannya berdasarkan andaian atau spekulasi.

"Jika benar ada pihak mendakwa keputusan itu adalah arahan Ketua Menteri, maka kemukakan bukti yang jelas. Jangan mengelirukan rakyat dengan dakwaan yang tidak dapat disahkan," jelasnya.

Beliau berkata, dengan penganjuran himpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 pada hujung minggu ini, pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab untuk membuat penilaian risiko serta mengambil langkah yang difikirkan perlu bagi memastikan keamanan, ketenteraman awam dan keselamatan rakyat terus terpelihara.

Nicholas Ban berkata, beliau menyokong usaha membanteras rasuah dan percaya semua rakyat Sabah menginginkan pentadbiran yang bersih serta berintegriti.

“Namun demikian, setiap kes hendaklah diselesaikan mengikut proses undang-undang dan prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah di bawah MA63 tidak seharusnya dipersoalkan hanya kerana sesuatu keputusan tidak memihak kepada pihak tertentu.

"Negeri jiran, Sarawak, telah lama menggunakan kuasa imigresen yang sama bagi melindungi kepentingan negeri serta mengekalkan keharmonian masyarakat. Hak tersebut dihormati oleh rakyat Sarawak.

“Oleh itu, Sabah juga berhak menggunakan kuasa yang sama seperti yang diperuntukkan di bawah MA63,” ujar beliau.

Beliau berkata rakyat Sabah seharusnya menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan hak negeri sendiri, bukannya menjadi pihak yang pertama mempertikaikan kuasa autonomi yang dijamin oleh Perlembagaan dan MA63.

"Sebagai sebuah parti tempatan yang berada dalam Kerajaan Negeri, LDP akan terus mempertahankan hak-hak Sabah di bawah MA63 serta menyokong segala tindakan yang dibuat mengikut undang-undang demi memastikan Sabah kekal aman, stabil dan terus membangun," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW