TERKINI:

UPKO Penampang mahu fokus PRU17, Timbalan Presiden tidak dipertanding

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) bahagian Penampang meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti bagi penggal ini untuk memastikan kestabilan kepimpinan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-17 (PRU17).

Ketua Cawangan UPKO Tulung, Felix Sikou ketika membentangkan usul berkata, cadangan berkenaan bukan bertujuan mengetepikan amalan demokrasi dalam parti, sebaliknya bagi memastikan kepimpinan UPKO kekal stabil supaya parti dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh organisasi dan menghadapi PRU17.

Beliau berkata, landskap politik yang sentiasa berubah memerlukan parti mempunyai kepimpinan yang mantap bagi memastikan gerak kerja organisasi tidak terjejas.

"Jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan bagi penggal ini, seluruh kepimpinan dan ahli parti dapat memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan organisasi, memperluaskan sokongan rakyat serta menyusun gerak kerja jentera di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Pada masa sama, pertandingan bagi jawatan lain masih boleh diteruskan sebagai proses melahirkan pelapis kepimpinan baharu, sekali gus membuktikan UPKO terus mengamalkan demokrasi dalam parti," katanya.

Usul yang dibentangkan itu diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tritahunan UPKO Bahagian Penampang di Dewan Ramayah, di sini, pada Sabtu.

Mesyuarat Agung Perwakilan Tritahunan UPKO Bahagian Penampang itu dirasmikan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, usul itu juga bertujuan memelihara perpaduan parti serta menjamin kesinambungan kepimpinan demi memperkukuhkan persediaan menghadapi PRU17.

Sementara itu, mesyuarat sama turut meluluskan usul supaya kepimpinan parti memperjuangkan pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Penampang menerusi proses persempadanan semula.

Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominick mencadangkan pembentukan Parlimen Kapayan yang baharu merangkumi DUN Bahang dan DUN Ganang, manakala Parlimen Penampang dicadangkan merangkumi DUN Moyog dan DUN Limbanak.

Menurut beliau, pertambahan kerusi itu wajar dipertimbangkan berikutan pertambahan penduduk, pembangunan pesat serta peluasan kawasan perbandaran di Penampang yang memerlukan representasi politik lebih seimbang.

Katanya, pertambahan kerusi Parlimen dan DUN akan memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selain membolehkan setiap wakil rakyat memberi tumpuan kepada kawasan yang lebih kecil dan tersusun.

Kedua-dua usul berkenaan mendapat sokongan penuh daripada para perwakilan sebelum diluluskan sebulat suara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW