KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya bertembung dengan sebuah Perodua Alza sebelum kedua-dua kenderaan terbabas di bahu jalan dalam kejadian di Jalan UMS Sepanggar berhadapan Alamesra, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 5.34 pagi.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
"Hasil pemeriksaan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva dan sebuah Perodua Alza yang bertembung sebelum kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan.
"Pemandu Perodua Viva berusia 21 tahun didapati tersepit di tempat duduk pemandu sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, pemandu Perodua Alza berusia 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.
"Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa," katanya
