TERKINI:

Bergaduh ketika mabuk, seorang maut ditikam empat kali

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing maut selepas ditikam empat kali dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada salah faham ketika mabuk di sebuah tapak pembinaan di belakang bilik pameran kenderaan di Iramanis, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah lubang pembetung (manhole) berhampiran lokasi kejadian, manakala suspek melarikan diri sejurus selepas insiden.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.40 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek keluar bersama pada sebelah pagi untuk minum minuman keras di kawasan Penampang sebelum pulang ke rumah kongsi kira-kira jam 11 malam.

"Bagaimanapun, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang dipercayai berpunca daripada salah faham ketika kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk.

"Mangsa dipercayai memukul suspek menggunakan sebatang kayu sebelum suspek bertindak balas dengan menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan sebilah pisau pemotong sayur," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sebelum mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha mengesan serta menangkap suspek, termasuk merampas senjata yang digunakan, sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-3106882 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW