TAWAU: Polis sedang mengesan sekumpulan pelajar sekolah yang dipercayai terbabit dalam kejadian memukul empat pelajar di Jalan Sri Delima, Merotai Besar, di sini, pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.09 malam sebelum Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa bersama tiga rakannya berjalan melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar bagi menunaikan solat Jumaat.
"Semasa dalam perjalanan, mereka didatangi sekumpulan pelajar sekolah yang dikenali mangsa. Kumpulan itu bertanyakan mengenai keberadaan dua individu sebelum seorang daripada mereka bertindak memukul mangsa.
"Beberapa pelajar lain kemudian turut menyerang mangsa secara beramai-ramai, manakala tiga rakan mangsa turut dipukul dalam kejadian sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk sebelum membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tawau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh, manakala usaha mengesan semua individu yang dipercayai terbabit sedang giat dijalankan.
"Waris serta pihak sekolah diingatkan supaya sentiasa memantau tingkah laku pelajar bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.
"Polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau perbuatan samseng, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah," katanya.
Sehubungan itu, Wilynton berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Chong Fung Mee di talian 013-8840113 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
