TONGOD: Program Outreach Bersama Komuniti anjuran Perpustakaan Negeri Sabah wajar diperluaskan ke setiap daerah di seluruh negeri bagi memastikan manfaat ilmu, budaya membaca dan teknologi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, program seumpama itu bukan sahaja memperkukuhkan budaya membaca dan literasi, malah membantu merapatkan jurang akses kepada ilmu pengetahuan serta teknologi.
Menurut James, perpustakaan kini memainkan peranan lebih besar sebagai pusat pembelajaran, pembangunan komuniti dan penyebaran ilmu yang sentiasa mendekati rakyat.
"Program seperti ini membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk memperoleh ilmu, meneroka teknologi baharu serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan Setiausaha Politik kepada Menteri, Justinus Jalang, pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Outreach Bersama Komuniti Perpustakaan Negeri Sabah Daerah Tongod, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw; Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Tongod, Tokyo Hashim; dan Pengarah Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Sabah, Ernywati Dewi Abas.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuhkan budaya membaca, meningkatkan tahap literasi dan memperluaskan akses kepada ilmu pengetahuan serta teknologi menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Perpustakaan Negeri Sabah.
Katanya, komitmen itu turut diterjemahkan melalui penyediaan kemudahan dan sumber digital yang boleh dimanfaatkan rakyat di seluruh negeri tanpa mengira lokasi.
Dalam pada itu, James menggalakkan masyarakat terus meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan daya saing bagi menghadapi cabaran era digital yang berkembang pesat, selain memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perpustakaan sama ada secara fizikal mahupun digital sebagai medium pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau turut menyifatkan sambutan menggalakkan masyarakat Tongod terhadap program berkenaan sebagai bukti semangat pembelajaran, perpaduan dan kerjasama terus subur dalam kalangan penduduk setempat.
Program itu melibatkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan membaca, sukan rakyat, Info Hunt, pameran sumber maklumat digital, program sains serta aktiviti komuniti.
