| Julita ketika menyampaikan ucapannya |
MATUNGGONG : Trend penyalahgunaan dadah di kawasan luar
bandar terutama dalam kalangan belia semakin membimbangkan dan memerlukan usaha
pencegahan yang lebih menyeluruh.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR),
Datuk Julita Majungki berkata, trend penyalahgunaan dadah merupakan antara
cabaran sosial yang semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua
pihak.
"Isu ini bukan sahaja merosakkan kesihatan fizikal dan
mental individu, malah turut menjejaskan institusi keluarga, meningkatkan
risiko jenayah serta mengancam keharmonian komuniti.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah penyalahgunaan
dadah kini tidak lagi tertumpu di kawasan bandar, malah turut menular ke
kawasan luar bandar dan melibatkan golongan belia.
"Oleh itu, usaha pencegahan perlu diperkasakan melalui
pendidikan, kesedaran awal dan kerjasama erat antara kerajaan, agensi
penguatkuasaan, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat, ibu bapa serta
seluruh anggota komuniti.
"Pencegahan yang berkesan bermula daripada komuniti
yang prihatin dan berani bertindak.
"Oleh itu, agensi kerajaan memainkan peranan penting
untuk mengatasi permasalahan itu.
"Keperluan menganjurkan pelbagai program yang
melibatkan komuniti setempat perlu dilaksanakan secara aktif dan
berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program KWKKR With
You: Memperkasa Komuniti Melalui Kesihatan, Kesedaran dan Keharmonian di Dewan
Terbuka Matunggong, pada Sabtu.
Sementara itu, Julita yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri
Sabah berkata program tersebut menjadi platform interaktif dan inklusif bagi
meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan, kesihatan dan
kesejahteraan sosial.
"Program turun padang seperti itu bukan sahaja
mendekatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, malah mengukuhkan
hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
"Selain itu, pelbagai aktiviti seperti saringan
kesihatan, senamrobik, sukaneka dan kempen derma darah turut diadakan bagi
membudayakan gaya hidup sihat serta menggalakkan penyertaan aktif masyarakat
dalam memupuk semangat perpaduan dan keharmonian komuniti," jelasnya.
Julita ketika senamrobik bersama Komuniti Kawasan Rukun Tetangga. |
Menurutnya, program itu merupakan anjuran KWKKR dengan
kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Jabatan Perpaduan
Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Turut hadir, Setiausaha Tetap KWKKR, Datuk Maria Chong yang
juga Setiausaha Kehormat PEMADAM Negeri Sabah, Pengarah JPNIN Negeri Sabah,
Rina Ab Harun; Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tinah Maralin, serta
ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Negeri.