TUARAN: Dua lelaki cedera selepas kereta Proton Saga yang dinaikinya terbabas sendiri dalam kemalangan di Jalan Kampung Berungis di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.31 malam itu, seorang daripada mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki berkata, sepasukan anggota dari balai bersama sebuah jentera dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.31 malam.
"Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.45 malam dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang terbabas sendiri di bahu jalan dengan seorang mangsa tersepit.
"Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas, manakala pasukan EMRS memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan tiga lelaki berusia 54, 48 dan 43 tahun.
Pemandu berusia 54 tahun serta seorang penumpang berusia 48 tahun mengalami kecederaan, manakala seorang lagi penumpang berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.03 malam,” tambahnya.
