TERKINI:

Lelaki maut, motosikal terbakar dirempuh Perodua Viva

PUTATAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva di Jalan Putatan menghala ke Lokawi, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.04 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, PPgB Musran Jabri berkata, sepasukan anggota dari balai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul kira-kira tiga pagi tadi.

"Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.10 pagi dan mendapati sebuah motosikal terbakar 100 peratus selepas dipercayai dilanggar sebuah Perodua Viva.

"Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada jentera sehingga api berjaya dikawal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, selepas operasi pemadaman selesai, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.48 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW