TERKINI:

22,000 pengguna Sabah lulus kuota tambahan 100 liter BUDI Diesel

KOTA KINABALU: Seramai 22,000 pengguna di Sabah diluluskan permohonan kuota tambahan 100 liter di bawah program BUDI Diesel, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini menetapkan kuota asas sebanyak 200 liter sebulan, namun memberi ruang kepada individu yang benar-benar memerlukan untuk memohon tambahan 100 liter menjadikan jumlah keseluruhan 300 liter.

Katanya, kemudahan itu disediakan terutama bagi pengguna yang menjalankan perniagaan kecil atau tinggal di kawasan pedalaman yang memerlukan penggunaan diesel lebih tinggi.

"Daripada data yang saya terima sehingga semalam, di Sabah sahaja seramai 22, 000 permohonan kuota tambahan 100 liter telah diluluskan.

"Ini menunjukkan mekanisme yang kita perkenalkan benar-benar dimanfaatkan oleh mereka yang layak," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BUDI Diesel di stesen minyak Shell, di sini, hari ini. 

Menurutnya, kerajaan sentiasa meneliti maklum balas rakyat bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dapat memenuhi keperluan sebenar pengguna tanpa menjejaskan objektif penyasaran subsidi.

Sementara itu, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme pemindahan kuota kepada ahli keluarga dalam situasi tertentu, khususnya apabila pemilik berdaftar kenderaan bukan individu yang menggunakannya.

"Contohnya, ada anak yang membeli kenderaan untuk ibu bapa atau ahli keluarga. 

“Dalam keadaan seperti itu, kita benarkan permohonan dibuat untuk memindahkan kuota kepada pengguna sebenar.

"Kita akan terus menambah baik sistem berdasarkan maklum balas yang diterima selagi ia tidak menjejaskan matlamat subsidi bersasar," jelasnya. 

Tambah beliau pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah yang bermula 1 Julai lalu setakat ini berjalan lancar dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kerajaan negeri serta syarikat pengendali stesen minyak.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW