KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki menyeru ibu bapa agar mengutamakan taska berdaftar bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan anak-anak, sambil menegaskan keperluan mendesak untuk menambah kapasiti penjagaan kanak-kanak di Sabah.
Beliau berkata sehingga kini sebanyak 95 taska tidak berdaftar telah dikenal pasti beroperasi di Sabah.
Daripada jumlah tersebut, sebahagiannya masih dalam proses permohonan dan menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, risiko penderaan kanak-kanak perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia boleh berlaku di mana-mana, termasuk di rumah, namun taska berdaftar menawarkan lapisan perlindungan yang lebih baik melalui pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa.
“Penyelesaian perlu dicari untuk mengenal pasti punca berlakunya penderaan dan langkah pencegahan perlu terus diperkukuhkan.
“Pada masa sama, ibu bapa perlu sedar bahawa menghantar anak ke taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan,” katanya ketika merasmikan penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah di 1Borneo Hypermall di sini pada Ahad.
Julita berkata, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di taska berdaftar kini menjadi antara elemen penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Menurutnya, pemasangan CCTV merupakan syarat wajib bagi pendaftaran taska dan semua taska berdaftar perlu mematuhi keperluan tersebut.
Pada masa sama, Julita berkata Sabah berdepan cabaran kekurangan kemudahan penjagaan awal kanak-kanak apabila hanya sekitar 230 taska berdaftar beroperasi di seluruh negeri ketika ini.
Beliau berkata berdasarkan unjuran penduduk, jumlah kanak-kanak berumur 0 hingga 4 tahun di Sabah dijangka mencecah 445,000 orang menjelang 2030, yang memerlukan kira-kira 110,000 tempat di taska bagi memenuhi permintaan.
“Pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan keluarga, malah merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sabah,” katanya.
Turut hadir Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Ivy Benjamin Botingon.
