KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengemukakan cadangan kajian semula persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, termasuk cadangan menambah beberapa kerusi di kawasan yang mencatat pertumbuhan pengundi.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, antara cadangan yang diterima parti itu ialah memecahkan kerusi Parlimen Kota Belud kepada dua kawasan Parlimen memandangkan kawasan itu kini mempunyai empat kerusi DUN.
Beliau berkata, bagi kawasan Parlimen Penampang pula, UPKO mencadangkan supaya diwujudkan satu lagi kerusi Parlimen serta dua kerusi DUN menerusi kajian semula persempadanan.
"Di Kota Belud, resolusi UPKO ialah meminta supaya kerusi Parlimen Kota Belud dipecahkan kepada dua kerana kita sudah mempunyai empat kerusi DUN di situ.
"Begitu juga di Parlimen Penampang, UPKO mencadangkan supaya kajian semula persempadanan dibuat bagi menambah satu lagi kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, semalam.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III berkata, bagi kawasan Parlimen Tuaran, beliau menyerahkan kepada kepimpinan UPKO bahagian itu untuk mengemukakan cadangan sama ada kawasan berkenaan perlu dikekalkan seperti sedia ada atau dikaji semula.
Beliau berkata, semua cadangan yang diterima akan dikemukakan kepada Hajiji untuk pertimbangan kerajaan negeri.
Menurutnya, Kabinet Sabah sebelum ini telah membincangkan keperluan mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN, selain meminta semua parti politik mengemukakan cadangan masing-masing.
"Saya percaya parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga sedang meneliti perkara ini di peringkat parti," jelasnya.
Beliau berkata, cadangan kajian semula persempadanan itu juga pernah dibincangkan dalam Majlis Tindakan Khas Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri membentangkan kertas berkaitan.
Bagi Sabah, kali terakhir bilangan kerusi Parlimen ditambah adalah menerusi kajian semula persempadanan pada 2002 hingga 2003 yang berkuat kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) pada 2004.
