TERKINI:

Semua jabatan digesa manfaatkan AI, percepat reformasi birokrasi - Zainudin Aman

KOTA KINABALU: Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri digesa mempergiat penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta melaksanakan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan pelaksanaan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman berkata, pendigitalan dan AI kini menjadi pemboleh daya strategik yang akan memperkukuhkan kecekapan pentadbiran kerajaan, sekali gus mentransformasikan kaedah perancangan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"SMJ 2.0 mengiktiraf pendigitalan dan kecerdasan buatan sebagai pemboleh daya strategik yang merentas ketiga-tiga teras utama pelan pembangunan negeri.

"Saya menyeru semua ketua jabatan dan agensi memastikan usaha pendigitalan serta integrasi AI dapat disemarakkan, dengan pendekatan dan hala tuju yang jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan semua kementerian dan jabatan mempercepat pelaksanaan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dengan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu proses kerja di setiap bahagian yang dipercepat.

Katanya, usaha itu perlu disusuli dengan pemantapan pelan strategik, persijilan ISO, Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) serta mengintegrasikan AI ke dalam proses kerja yang telah melalui fasa reformasi.

"Sudah tiba masanya kita memberi tumpuan bukan sekadar kepada proses, tetapi kepada hasil, impak dan nilai yang dapat dinikmati rakyat menerusi setiap dasar dan inisiatif kerajaan," tambahnya. 

Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik SMJ 2.0 merupakan sebuah platform strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 ke arah merealisasikan aspirasi pembangunan Sabah menjelang 2030. 

Dianjurkan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya, Jabatan Ketua Menteri, program itu menghimpunkan kepimpinan kerajaan, pembuat dasar, agensi pelaksana dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan. 

Nama ‘Sankalpa’ yang berasal daripada bahasa Sanskrit dan membawa maksud tekad, iltizam serta komitmen yang teguh untuk mencapai matlamat, dipilih sebagai simbol semangat kolektif Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW