![]() |
| Joachim ketika menyampaikan ucapan. |
RANAU : Seramai 34 pengusaha pertanian di Ranau menerima
pensijilan myGAP (Skim pensijilan amalan pertanian baik) dan myOrganic (Skim
pensijilan Organik Malaysia).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim
Gunsalam berkata, pengusaha pertanian dan pengguna kini semakin peka dengan
kualiti, keselamatan dan kesegaran makanan yang dikeluarkan dan dinikmati
setiap hari.
"Di sinilah terletaknya peranan penting program
pensijilan myGAP dan myOrganic yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian
Sabah sejak tahun 2002.
"Saya difahamkan, pensijilan myGAP menitikberatkan
amalan pertanian yang baik, meningkatkan hasil, mesra alam dan menjaga
kebajikan pekerja selain memastikan hasil tanaman adalah selamat untuk dimakan,
bersih dan berkualiti.
"Manakala myOrganic pula adalah pengiktirafan kepada
kepada pengusaha pertanian bagi sistem pengeluaran yang menggunakan sepenuhnya
bahan semulajadi tanpa penggunaan racun kimia sintetik.
"Kedua-dua pensijilan ini bukan sahaja menjamin kualiti
dan keselamatan makanan, tetapi juga memberi faedah dari segi meningkatkan
keyakinan pengguna terhadap produk tempatan, memperkukuh penjenamaan hasil
ladang di pasaran domestik dan antarabangsa serta membuka akses pasaran premium
dan eksport yang lebih luas," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang
berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran myGAP dan myOrganic
Kundasang Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Terbuka Pekan Kundasang di sini,
pada Ahad.
![]() |
| Joachim (lima dari kanan) bersama penerima sijil myGAP. |
Joachim menyeru lebih ramai pengusaha pertanian khususnya di
Kundasang untuk menyertai program pensijilan tersebut dan memanfaatkan khidmat
nasihat, bimbingan serta pelbagai insentif yang disediakan oleh Jabatan
Pertanian Sabah untuk mendapatkan sijil myGAP atau myOrganic serta meluaskan
Agro Green Zone.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan dalam memastikan produk
pertanian sentiasa berkualiti, terjamin dan mencukupi, pelbagai isu harus
dihadapi akibat daripada tekanan krisis global yang memberi impak kepada sektor
pengeluaran makanan di Malaysia.
"Antara kesan ketara yang kita hadapi ialah peningkatan
kos operasi, peningkatan kos input baja dan racun, penurunan hasil komoditi dan
gangguan pasaran.
"Faktor-faktor ini secara langsung akan mempengaruhi,
kuantiti harga pasaran, kos pengeluaran dan pengangkutan, kebajikan pekerja dan
sebagainya.
"Saya percaya Jabatan Pertanian akan terus memberi
bimbingan dan khidmat nasihat dalam mengurus dan mengendalikan ladang supaya
kesan dari tekanan krisis global ini adalah pada tahap minimum," ujarnya.
Beliau menambah, pensijilan myGAP atau myOrganic itu bukan
sahaja memberi nilai tambah kepada produk pengusaha pertanian malah juga
membuka peluang pasaran yang lebih luas termasuk pasaran antarabangsa dan
eksport.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Tinus Manggam; Pegawai Eksekutif
Majlis Daerah Ranau, Elmer M. Sator dan Pegawai Pertanian Kanan, Pejabat
Pertanian Ranau, Kelvin Kalianon.

