TERKINI:

Polis Semporna cekup dua warga asing miliki syabu

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing diberkas dalam dua operasi berasingan di Kampung Sejati 1, di sini, semalam, dengan polis merampas dadah disyaki syabu seberat 5.53 gram.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tangkapan pertama dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 10.55 pagi hasil risikan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditahan sebelum pemeriksaan menemukan satu bungkusan lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 0.19 gram.

"Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tan berkata, pada jam 4 petang hari yang sama, polis sekali lagi menyerbu lokasi sama dan menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 49 tahun.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan dadah disyaki syabu seberat 5.34 gram.

"Suspek kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Semporna untuk tindakan lanjut sebelum ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah.

Katanya, operasi membanteras jenayah dadah akan terus dipertingkatkan tanpa mengira status kewarganegaraan atau latar belakang individu yang terbabit.

"Masyarakat juga diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membantu polis memastikan Semporna kekal selamat, aman dan bebas daripada ancaman dadah," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW