TAWAU: Seramai 10 pelajar lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan kes berhubung kejadian belasah empat pelajar hingga cedera di Jalan Sri Delima, Merotai Besar, di sini, pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kesemua suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama anggota Balai Polis Bombalai.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan siasatan yang dijalankan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian membabitkan empat pelajar yang dipercayai dipukul sekumpulan pelajar ketika dalam perjalanan ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat.
"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 14 tahun bersama tiga rakannya sedang berjalan melalui jalan pintas sebelum didatangi sekumpulan pelajar yang bertanyakan mengenai keberadaan dua individu lain.
"Apabila mangsa memaklumkan tidak mengetahui lokasi individu yang dicari, kumpulan pelajar terbabit dipercayai bertindak menyerang dan memukul mangsa secara beramai-ramai.
"Tiga lagi rakan mangsa yang berada di lokasi turut menjadi mangsa serangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada serta rusuk, manakala tiga lagi mangsa turut mengalami kecederaan sebelum membuat laporan polis.
Katanya, hasil maklumat yang diperoleh dan siasatan lanjut, polis berjaya menahan kesemua 10 pelajar terbabit bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.
Wilynton menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau salah laku membabitkan pelajar dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, selain menggesa pihak sekolah dan masyarakat terus bekerjasama dengan polis dalam membendung gejala keganasan dalam kalangan pelajar.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Chong Fung Mee atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
.jpeg)