TERKINI:

Dua pengunjung pusat hiburan positif dadah ditahan di Penampang




PENAMPANG: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di dua premis hiburan sekitar daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Penampang, Asisten Superintendan Bakar Jasa itu, seramai 32 individu menjalani ujian saringan air kencing.

Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki berusia 32 dan 49 tahun disahkan positif dadah jenis methamphetamine (METH) dan tetrahydrocannabinol (THC).

Kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi membanteras penyalahgunaan dadah selain memastikan pengusaha pusat hiburan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, polis akan terus mempertingkatkan operasi seumpama itu sebagai langkah proaktif dalam memerangi penyalahgunaan dadah serta memantau aktiviti di premis hiburan.

"Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan akan terus memperhebatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras gejala itu.

Menurutnya, kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan persekitaran yang selamat serta bebas daripada penyalahgunaan dadah dan aktiviti jenayah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW