![]() |
| Kasim ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU : Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu
(PBAKK) 2026 akan berlangsung 23 September depan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor
Datuk Dr. Kasim Md Mansur berkata, dianggarkan lebih 100 peserta dari dalam dan
luar negara akan mengambil bahagian termasuk dari Sabah, Sarawak, Wilayah
Persekutuan Labuan, Kalimantan, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia serta
beberapa negara lain.
"Pada tahun ini, UMS dengan kerjasama Institut Kajian
Pembangunan (IDS), Perpustakaan Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
akan menganjurkan PBAKK 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Sabah (SICC) bermula 23 hingga 27 September depan.
"Selain pesta buku, kita juga akan mengadakan
pelancaran beberapa buah buku serta cadangan memperkenalkan Anugerah Piala Buku
Terbaik Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang merangkumi
kategori Penulis Terbaik, Buku Borneo Terbaik dan Penerbit Buku Terbaik.
"Kita menjangkakan seperti tahun lepas, peserta-peserta
yang akan mengambil bahagian dalam PBAKK 2026 datang dari borneo yang mana kami
telah menjemput rakan-rakan strategik dari Kalimantan, Brunei Darussalam,
Wilayah Persekutuan Labuan serta Sarawak selain turut menjemput rakan strategik
dari Filipina, Indonesia dan beberapa negara lain.
"Inilah hasrat UMS untuk mengetengahkan buku-buku yang
berkaitan dengan borneo dan bidang-bidang sains sosial serta sains dalam usaha
untuk mempromosi ilmu pengetahuan kepada warga borneo sendiri," katanya
ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri,
Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
![]() |
| Suasana ketika kunjungan hormat berlangsung. |
Menurut Kasim, kunjungan tersebut adalah bertujuan untuk
memaklumkan penganjuran pesta buku berkenaan selain menjemput Tun Musa hadir
dan menyempurnakan majlis perasmian pesta berkenaan yang dijadual akan diadakan
pada 27 September.
Beliau turut memaklumkan penganjuran pesta buku itu juga
adalah dalam usaha untuk membantu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)
mengangkat bandaraya Kota Kinabalu sebagai City of Literature (Kota Sastera),
selain mengetengahkan penerbitan berkaitan Borneo dalam pelbagai bidang ilmu
kepada masyarakat serantau.
"Salah satu kriteria yang membolehkan sesebuah bandar
dinobatkan sebagai City of Literature adalah antaranya melalui penganjuran
pameran buku berskala besar.
"Kita menyasarkan pesta ini mampu menarik lebih 150,000
pengunjung sepanjang lima hari penganjuran, termasuk pelajar sekolah rendah,
sekolah menengah, mahasiswa serta orang awam," tambahnya.
Beliau berkata, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai
tawaran istimewa termasuk diskaun pembelian buku selain menyaksikan pameran
berkaitan STEM, kebudayaan, warisan, bahasa dan penerbitan tempatan.
“Memang hasrat pesta buku ini adalah memberi peluang kepada
masyarakat untuk melihat buku-buku terbaik dan terkini, selain meningkatkan
minat membaca dalam kalangan pelajar serta orang ramai,” katanya.
Selain pameran buku, lebih 50 aktiviti akan diadakan
sepanjang pesta termasuk pertandingan mewarna, sesi bercerita, forum, seminar,
bicara buku serta pelbagai program pendidikan yang dikendalikan oleh UMS,
Perpustakaan Negeri Sabah, DBP dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Sehubungan itu, orang ramai jemputan hadir ke pesta
berkenaan yang berlangsung selama lima hari bermula 23 September di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) mulai jam 9.30 pagi hingga 10.00 malam.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi
UMS, Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Prof Datuk Ts Dr
Ramzah Dambul dan Pengarah Penerbit UMS, Prof. Dr. Patricia @ Patricia
Clementina Matanjun.

