![]() |
| Hazlina berucap semasa sidang media berlangsung. |
KOTA KINABALU : Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan 2026 - 2030 (OSHMP30) diperkenal bagi tujuan memperkukuhkan
pembudayaan keselamatan dan kesihatan pekerja.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
(JKKP) Malaysia, Ir. Ts. Hazlina Yon berkata, pelan induk tersebut baharu
sahaja diluluskan di peringkat kabinet dan negeri Sabah bertuah kerana menjadi
negeri yang pertama dimaklumkan berkenaan pelaksanaan pelan induk tersebut.
"Program pada hari ini merupakan satu titik permulaan
untuk kita memaklumkan OSHMP30 yang semalam baharu sahaja diluluskan di
peringkat kabinet dan Sabah bertuah kerana negeri yang pertama diperkenalkan
tentang OSHMP30.
"OSHMP30 ini merupakan satu rangka strategik baharu
yang mana tumpuan negara beralih daripada pengukuhan asas pembudayaan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan iaitu daripada OSHMP25 kepada agenda yang
lebih progresif yang memperkukuh kelestarian dan daya tahan (Sustainability and
Resilience) keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara.
"Di bawah teras OSHMP30, kita memanfaatkan sepenuhnya
kecanggihan teknologi era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), iaitu kita
mengetengahkan kecerdasan buatan ataupun Artificial Intelligence (AI) juga
internet kebendaan (IoT) dan juga penggunaan analisis data raya (Big Data).
"OSHMP30 ini mengambil kira risiko pekerjaan baharu
yang wujud di Malaysia selaras dengan negara-negara luar," katanya ketika
sidang media, sempena program Seminar Revolusi Landskap KKP 2.0 di sini, pada
Khamis.
Jelasnya, JKKP memandang serius wujudnya penyakit pekerjaan
yang mungkin timbul akibat aktiviti yang dijalankan oleh majikan di tempat
kerja masing-masing.
"Merujuk kepada statistik kecederaan pekerjaan di Sabah
sehingga Mei 2026, terdapat 226 kes kecederaan pekerjaan direkodkan dan lima
daripadanya merupakan kecederaan maut manakala enam daripada kes melibatkan
hilang upaya kekal.
"Bagi aspek penyakit pekerjaan pula sebanyak 109 kes
aduan penyakit pekerjaan yang diterima oleh JKKP Sabah dan disiasat sepenuhnya
dengan 44 kes iaitu sebanyak 40.36 peratus daripadanya telah disahkan sebagai
penyakit pekerjaan," katanya.
Sehubungan itu, selaras dengan komitmen memperkukuhkan
penguatkuasaan perundangan, Seksyen Siasatan dan Pendakwaan JKKP Sabah
mencatatkan satu prestasi yang amat memberangsangkan apabila memberikan hukuman
ke atas majikan-majikan yang didapati melanggar pematuhan kepada peruntukan
undang-undang di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
"Kita telah menjalankan tindakan pendakwaan dan kutipan
denda mahkamah berjumlah RM409 ribu dalam tempoh lima bulan pertama dalam tahun
2026," ujarnya.
Dalam pada itu, selaras dengan aspirasi kerajaan,
pendigitalan menyeluruh di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), JKKP
Sabah menyeru semua industri di negara ini segera menggunapakai Sistem
Bersepadu Pengurusan Bahan Kimia Industri (Integrated Industrial Chemical
Management System, IICMS) yang baharu diluncurkan pada 25 Jun lalu.
"Sebuah sistem bernilai 2.6 juta dibangunkan di bawah
peruntukan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), merupakan satu sistem
berasaskan web dan bukan sahaja berfungsi sebagai pangkalan data bersepadu bagi
inventori bahan kimia industri, malah menyediakan pemetaan tepat lokasi fizikal
bahan kimia.
"Ia membantu pasukan tindak balas kecemasan termasuk
Pasukan Hazardous Materials Unit Team (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM), mengambil tindakan dengan lebih pantas, tepat dan selamat
ketika berlakunya insiden atau bencana kimia," tambahnya lagi.
Beliau berharap agar penganjuran program tersebut dapat
memperkukuh iltizam kolektif majikan dan pekerja di Sabah untuk menjadikan
aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai pelaburan strategik ke arah
mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan mencapai
aspirasi sifar kemalangan.
![]() |
| Hazlinah (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama semua yang hadir |
Seramai 220 orang peserta seminar menyertai program
tersebut, antaranya pengamal Keselamatan dan Kesihatan, OSH-Coordinator, Safety
and Health Officer, Steam Manager serta ahli-ahli jawatankuasa keselamatan dan
kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
Antara sektor menyertai program tersebut adalah sektor
pembuatan, Palm Oil Mill, Oil and Gas (Petronas), pembinaan, sektor pertanian
(ladang kelapa sawit) dan Healthcare (pengamal keselamatan dan kesihatan).
Hadir sama, Pengarah JKKP Sabah, Zulkifliy Sulaiman;
Timbalan Pengarah (Operasi) JKKP Sabah, Afanizam Ali; Timbalan Pengarah
(Khidmat Teknik) JKKP Sabah, Norimah Ghani serta Pengurus Program Seminar
Revolusi Landskap KKP 2.0, Ir. Mohd Yunus Yusof

