![]() |
| Awang ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
(JHEAINS) merancang melaksanakan penstrukturan semula organisasi sebagai nadi
kepada era baharu perkembangan JHEAINS.
Pengarahnya, Datuk Awang Juri Ag Tahir berkata,
penstrukturan tersebut melibatkan cadangan penambahbaikan struktur organisasi
dan perjawatan sedia ada bagi memastikan JHEAINS terus relevan serta mampu
memenuhi keperluan semasa.
"Cadangan ini masih berada di peringkat awal dan akan
dibincangkan secara terperinci bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri,
khususnya Bahagian Pembangunan Organisasi.
"Penstrukturan ini bertujuan memperkasakan peranan
JHEAINS supaya dapat bergerak seiring dengan jabatan-jabatan lain yang telah
berkembang dari segi pentadbiran, pengurusan dan perancangan strategik,"
katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun
Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
![]() |
| Tun Musa (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada Awang (enam dari kiri). |
Beliau berkata, penstrukturan itu juga didorong oleh
keyakinan dan pandangan positif pimpinan negeri terhadap peranan JHEAINS,
sekali gus menjadi pemangkin untuk jabatan itu terus diperkasakan.
"Melalui penstrukturan ini, JHEAINS diharap dapat
menjadi sebuah jabatan yang boleh dijadikan ikon kepada jabatan-jabatan
lain," ujarnya.
Beliau berharap usaha penstrukturan berkenaan mendapat
sokongan kerajaan negeri bagi membolehkan JHEAINS melaksanakan perancangan
pembangunan organisasi secara lebih tersusun dan berkesan.
Selain itu, JHEAINS turut memaklumkan kepada Tun Musa
mengenai beberapa projek utama jabatan yang sedang dirancang, termasuk program
berskala besar yang dijangka dirasmikan oleh Tun Musa dalam masa terdekat.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JHEAINS, Abd. Manap Abd. Ruhim

