TERKINI:

Perdana Park Tanjung Aru dibuka semula Sabtu ini


KOTA KINABALU: Perdana Park Tanjung Aru akan dibuka semula kepada orang ramai bermula Sabtu ini selepas pengurusannya diserahkan secara rasmi kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pembukaan semula taman rekreasi itu dibuat selepas DBKK menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan semua kemudahan asas berada dalam keadaan selamat, bersih dan selesa untuk digunakan pengunjung.

Beliau mengetuai sesi Walkabout Pra Pembukaan semalam bersama pegawai kanan DBKK bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi sebelum taman itu dibuka sepenuhnya.

Pembukaan semula Perdana Park dibuat susulan penyerahan rasmi pengurusan taman berkenaan daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah kepada DBKK pada 29 Jun lalu.

DBKK memaklumkan taman itu akan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 7 malam, manakala pintu pagar akan ditutup selepas waktu operasi bagi memastikan keselamatan kawasan dan kemudahan awam sentiasa terpelihara.

Kemudahan parkir pula masih disediakan secara percuma buat masa ini sehingga sistem pembayaran parkir digital diperkenalkan.

Bagaimanapun, beberapa kemudahan masih ditutup kerana sedang menjalani penilaian keselamatan, termasuk kawasan air pancut berirama, air pancut interaktif, taman permainan kanak-kanak berhampiran pejabat operasi dan sistem dispenser air.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak memasuki kawasan berkenaan kerana DBKK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan atau kecederaan akibat kegagalan mematuhi arahan.

Dalam masa sama, DBKK akan melaksanakan kerja naik taraf secara berperingkat bagi meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan pengalaman rekreasi pengunjung.

Pengunjung juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menggunakan trek joging sintetik serta kawasan permainan kanak-kanak terutama ketika hujan kerana permukaannya boleh menjadi licin.

DBKK turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan taman, menjaga kebersihan, mematuhi arahan pegawai bertugas dan mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh merosakkan harta benda awam.

Aktiviti seperti memancing, mandi-manda, barbeku, berkhemah dan menjalankan aktiviti menjaja adalah dilarang di kawasan taman, manakala sebarang penganjuran program atau aktiviti perlu mendapat kelulusan DBKK terlebih dahulu.

DBKK berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan Perdana Park Tanjung Aru terus kekal sebagai destinasi rekreasi yang bersih, selamat dan selesa.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW