TERKINI:

Peluasan kelayakan SKDS kepada kenderaan Jip dan Pikap berkuat kuasa bulan ini



PUTRAJAYA: Kerajaan memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat bagi kategori jip dan pikap berkuat kuasa bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan subsidi diesel bersasar melalui beberapa mekanisme yang telah diperkenalkan kerajaan.

Menurut beliau, antara mekanisme tersebut termasuk BUDI Diesel untuk individu, BUDI Agri-Komoditi bagi petani, penternak dan pekebun kecil, serta Skim Subsidi Diesel Nelayan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Katanya, SKDS pula memberi manfaat kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang berkelayakan melalui kaedah kad fleet dengan kuota tetap mengikut kategori kenderaan.

Beliau berkata, peluasan terbaharu itu melibatkan Sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) sebagai tambahan kepada sektor pengangkutan awam serta barangan keperluan pengguna yang sedia ada.

“Dengan penambahan ini, keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan di bawah SKDS kini berjumlah 35 kategori.

“Permohonan pendaftaran dibuka bermula hari ini, Jumaat, 3 Julai 2026 dan kelayakan subsidi akan berkuat kuasa bermula 15 Julai 2026 tertakluk kepada kelulusan dan pemilikan fleet card,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, antara syarat kelayakan ialah kenderaan perlu didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan di bawah Kelas Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta perniagaan berdaftar di bawah milikan tunggal atau perkongsian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, peluasan itu disasarkan untuk membantu peniaga mikro dan kecil yang berdaftar secara sah di seluruh negara.

“Pemilik perniagaan yang berkelayakan adalah digesa membuat permohonan pada kadar segera melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW