KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi 26 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan secara serentak di seluruh daerah di negeri ini sepanjang tempoh tiga hari bermula 30 Jun lalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu dijalankan bagi membanteras kehadiran PATI selain mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen di negeri ini.
Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, seramai 1,187 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 208 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
"Daripada jumlah yang ditahan, seramai 164 orang adalah warganegara Filipina membabitkan 53 lelaki dewasa, 72 wanita dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan.
"Turut ditahan ialah 30 warganegara Indonesia yang terdiri daripada 15 lelaki dewasa dan 15 wanita dewasa, selain lima lelaki warga Pakistan, enam lelaki warga China serta tiga lelaki warga India," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, JIM Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
"Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu usaha penguatkuasaan yang dilaksanakan," katanya.
