BELURAN: Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Bayu Permai, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.40 pagi.
Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera CFRT bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 10.28 pagi.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berukuran 20 x 30 kaki sedang terbakar dan api telah memusnahkan keseluruhan rumah.
"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sebuah pam angkut dengan satu aliran sepanjang 200 kaki serta dua pancutan menggunakan sumber air terbuka dari kolam berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan tiada laluan akses yang sesuai untuk jentera bomba memasuki lokasi kejadian.
Katanya, seorang mangsa lelaki warga Indonesia berusia 49 tahun ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, operasi berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
