TERKINI:

Lelaki ditemukan lemas selepas dua hari operasi SAR di Kota Belud

KOTA BELUD:  Seorang lelaki berusia 25 tahun yang dikhuatiri lemas ketika menyeberangi sungai di Kampung Lebak Engad di sini ditemukan meninggal dunia pada petang tadi selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 1.18 petang, semalam. 

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Kota Belud segera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi SAR.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapatkan maklumat awal daripada pengadu dan penduduk kampung sebelum memulakan pencarian di permukaan sungai menggunakan kaedah Surface Rescue di kawasan mangsa dipercayai hilang.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Marudu tiba pada jam 4.30 petang sebelum melaksanakan selaman pertama di lokasi mangsa kali terakhir dilihat dengan radius pencarian sejauh 500 meter," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan pada hari kedua bermula jam 8.50 pagi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai dan penduduk kampung.

Katanya, pencarian dilakukan menerusi dua kaedah iaitu menggunakan bot penyelamat di permukaan sungai serta pencarian darat di sepanjang tebing sungai.

"Mangsa ditemukan oleh orang awam pada jam 6.15 petang, kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.54 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW