TERKINI:

“Saya telah menghantar Usul Semakan Semula Pelaksanaan BUDI Diesel di Dewan Rakyat pada 25 Jun lalu” - Madius

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menghantar satu usul di Dewan Rakyat menggesa Kerajaan Persekutuan menyemak semula pelaksanaan mekanisme BUDI Diesel supaya lebih mengambil kira realiti sosioekonomi, geografi dan corak kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak.


Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau memaklumkan bahawa usul itu dihantar melalui Setiausaha Dewan Rakyat di bawah Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada tarikh 25 Jun 2026.


"Syarat kelayakan sedia ada yang mewajibkan kenderaan diesel didaftarkan atas nama pemohon di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mencerminkan keadaan sebenar di Sabah dan Sarawak.


"Ramai pengguna di kedua-dua wilayah ini menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama ahli keluarga, syarikat keluarga atau pemilik terdahulu, termasuk melalui urusan sambung bayar," katanya.


Beliau berkata, di Sabah dan Sarawak, kenderaan diesel seperti pacuan empat roda, pikap, lori kecil dan kenderaan utiliti adalah satu keperluan dan bukannya lambang kemewahan.


"Ia merupakan keperluan asas untuk bekerja, menjalankan aktiviti pertanian, perikanan, penternakan, pelancongan, logistik serta mengurus kehidupan harian, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang kekurangan sistem pengangkutan awam.


"Ia adalah kenderaan utama mencari rezeki. Oleh itu dasar yang dilaksanakan mesti mengambil kira hakikat ini," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu lagi.


Beliau berkata, kegagalan mendapatkan subsidi BUDI Diesel akan memaksa rakyat yang benar-benar bergantung kepada diesel membeli bahan api itu pada harga pasaran tanpa subsidi. 


Keadaan itu, katanya, akan meningkatkan kos sara hidup, kos pengeluaran pertanian, kos logistik dan harga barangan keperluan.


Melalui usul tersebut, Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengemukakan 10 cadangan utama. 


Antaranya ialah menyemak semula syarat kelayakan supaya mengambil kira pengguna sebenar kenderaan, membenarkan ahli keluarga terdekat menikmati subsidi jika mereka merupakan pengguna sebenar, mewujudkan mekanisme pengesahan alternatif melalui Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Pegawai Daerah, menyediakan saluran rayuan khas serta memperkenalkan mekanisme BUDI Diesel yang mengambil kira keadaan unik Sabah dan Sarawak.


“Saya juga mencadangkan supaya tindakan penguatkuasaan terhadap pemohon di Sabah dan Sarawak ditangguhkan sementara bagi kes yang melibatkan isu pemindahan hak milik dan dokumentasi. 


“Sesi libat urus bersama kerajaan negeri, wakil rakyat dan pemain industri juga perlu diadakan sebelum pelaksanaan penuh dasar tersebut.


"Kita menyokong usaha kerajaan memperkukuh pengurusan subsidi dan membanteras ketirisan. Namun, rakyat yang benar-benar layak tidak seharusnya dinafikan hak mereka hanya kerana prosedur pentadbiran yang tidak mencerminkan keadaan sebenar di lapangan," katanya.


Madius turut menegaskan bahawa pelaksanaan sesuatu dasar nasional yang memberi kesan langsung kepada Sabah dan Sarawak perlu dirangka melalui rundingan yang bermakna dengan kerajaan negeri. 


Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan semangat , prinsip federalisme serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah pengasas Persekutuan Malaysia.


"Dasar yang baik bukanlah dasar yang dilaksanakan secara sama rata kepada semua, tetapi dasar yang dilaksanakan secara adil mengikut keperluan sebenar rakyat," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW