TERKINI:

Kanak-kanak melecur, rumah dan dua kenderaan hangus

KUNAK: Seorang kanak-kanak lelaki melecur di kaki kiri selepas rumah didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Kasnuri, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam. 

Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi.

"Sebaik tiba enam minit kemudian, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 20 kaki x 30 kaki terbakar 100 peratus.

"Kebakaran turut memusnahkan sebuah Perodua Kancil dan sebuah motosikal yang masing-masing hangus sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan melecur pada kaki kiri dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba.

"Api berjaya dikawal pada jam 9 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.17 malam selepas anggota memastikan kawasan kebakaran selamat. 

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW