KOTA KINABALU: Kerajaan akan sentiasa menilai keperluan untuk menyemak kuota BUDI Diesel berdasarkan data penggunaan serta maklum balas pengguna bagi memastikan subsidi bersasar terus sampai kepada golongan yang layak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebarang perubahan terhadap kuota tidak akan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya bergantung kepada analisis data yang dikumpulkan selepas program itu dilaksanakan.
"Ketika BUDI 95 diperkenalkan, data menunjukkan lebih 94 hingga 95 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 300 liter.
“Namun selepas sistem beroperasi dan setiap transaksi direkodkan, kita dapati pengguna yang secara konsisten menggunakan lebih daripada 200 liter adalah kurang daripada satu peratus.
"Data itu memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa kuota 200 liter adalah lebih bersesuaian," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah stesen minyak, di sini.
Beliau berkata, pendekatan sama akan digunakan bagi pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak yang baru bermula pada 1 Julai lalu.
"Setakat ini kita melihat sistem di semua stesen minyak yang terlibat berjalan lancar dan pengguna yang layak dapat membeli diesel seperti biasa.
"Selepas suatu tempoh, kita akan membuat penilaian terhadap keberkesanan pelaksanaan berdasarkan data penggunaan sebenar," jelasnya.
Amir menambah, kerajaan turut memberi perhatian kepada maklum balas yang diterima di lapangan dan bersedia membuat penambahbaikan sekiranya terdapat keperluan.
"Kita akan terus mengumpul maklum balas, menganalisis semua maklumat dan berbincang dengan kementerian, kerajaan negeri serta agensi berkaitan sebelum sebarang pelarasan dibuat.
"Bagi semakan kuota keseluruhan, ia memerlukan sedikit masa kerana kerajaan mahu memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan data yang sahih dan keadaan sebenar di lapangan," tambahnya.
Sementara itu, beliau turut menambah bahawa stesen minyak digalakkan menyediakan kaunter bantuan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat serta membuat permohonan berkaitan program BUDI Diesel.
“Hari ini saya melihat sendiri usaha yang dilakukan oleh Shell menyediakan petugas khas bagi memberi penerangan kepada pelanggan mengenai BUDI Diesel dan Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS).
"Pengguna boleh menyemak kelayakan melalui kod QR yang disediakan serta mendapatkan bantuan untuk membuat permohonan sekiranya layak," ujarnya.
Namun menurut beliau, penyediaan kaunter bantuan di stesen minyak bergantung kepada keperluan dan jumlah pelanggan di sesuatu kawasan.
