TERKINI:

10 suspek kes pukul pelajar beramai-ramai di Merotai, ditahan reman 4 hari

Semua suspek dibawa ke lokap IPD Tawau,sejurus proses reman selesai di Mahkamah Majistret pagi tadi. Foto | SS.


TAWAU : Seramai 10 remaja lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes seorang pelajar dipukul secara beramai-ramai ketika dalam perjalanan ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat di Jalan Sri Delima, Merotai Besar, Jumaat lepas. 

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Sarjan Chong Fung Mee, pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Dalam permohonan itu, polis memaklumkan reman diperlukan berikutan siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam selain bagi membolehkan percakapan semua suspek dan saksi dirakam, soal siasat dijalankan serta proses dokumentasi termasuk rakaman gambar, cap jari dan pendaftaran biometrik dilengkapkan.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di mahkamah, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lepas ketika mangsa bersama tiga rakannya berjalan melalui jalan pintas di kawasan kebun kelapa sawit menuju ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat.

Sebaik tiba di lokasi, mereka didatangi sekumpulan pelajar yang dikenali sebelum bertanyakan mengenai keberadaan dua individu. 

Tidak lama kemudian, salah seorang suspek dipercayai bertindak memukul mangsa sebelum diikuti suspek lain yang menyerang secara berkumpulan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada serta rusuk, manakala tiga lagi rakannya turut dipukul dalam insiden berkenaan.

Kes berkenaan sebelum ini tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi hampir dua minit yang memaparkan seorang pelajar dipukul secara beramai-ramai.

Polis kemudian menahan 10 remaja terbabit pada kira-kira jam 2 petang, sehari selepas kejadian, dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW