PAPAR: Kerajaan bersedia mempertimbangkan penambahan kuota subsidi diesel sekiranya terdapat keperluan serta mekanisme yang bersesuaian bagi memastikan bantuan itu disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sebarang penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi diesel bersasar akan dibuat berdasarkan maklum balas daripada kerajaan negeri yang lebih memahami keadaan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja akan dilaksanakan di Sabah, malah boleh diperluaskan ke seluruh negara sekiranya mekanisme yang sesuai dikenal pasti.
"Jika ada mekanisme yang membolehkan, kita akan mempertimbangkannya. Apa yang penting ialah kerjasama kerajaan negeri kerana mereka lebih memahami situasi sebenar rakyat di kawasan masing-masing.
"Dengan maklum balas daripada kerajaan negeri, kita dapat membangunkan mekanisme yang bersesuaian bagi membantu golongan yang benar-benar terkesan. Mungkin ia memerlukan sedikit masa untuk diperhalusi, namun kerajaan bersedia menelitinya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Kerja Menteri Kewangan II di Kota Kinabalu, hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan sentiasa menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bersasar berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat dan pelbagai pihak.
Katanya, sehingga kini lebih 220,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara sudah memohon dan menerima peningkatan kuota subsidi daripada 200 liter kepada 300 liter menerusi mekanisme yang diperkenalkan kerajaan.
Beliau berkata, kelayakan itu turut diperluaskan kepada pemilik kenderaan pikap dan pacuan empat roda yang digunakan bagi tujuan perniagaan, termasuk pengangkutan barangan serta penumpang.
"Pengguna yang menjalankan aktiviti perniagaan, termasuk perkhidmatan pengangkutan di kawasan luar bandar dan pedalaman, juga boleh memohon kuota yang bersesuaian menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), tertakluk kepada penilaian yang ditetapkan.
"Kerajaan komited untuk terus menambah baik pelaksanaan subsidi diesel dari semasa ke semasa supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih adil, berkesan dan memenuhi keperluan sebenar rakyat," katanya.
