KOTA KINABALU: Sabah MotoDay 9.0 yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 September ini ditunda kepada 12 dan 13 September depan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat sukan dua roda menghadiri program berkenaan.
Menerusi kenyataan bersama, Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Haji Manan dan Pengerusi Kelab Dua Roda Bersatu Sabah merangkap Ketua Skuad Dua Roda Antidadah Sabah, Rudhi Haryanto Ghazali, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan, sokongan serta sambutan berterusan daripada komuniti permotoran terhadap penganjuran Sabah MotoDay.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan akan diadakan di kawasan parkir Kompleks Sukan Likas, di sini, manakala majlis perasmiannya dijadual disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada 13 September.
"Meskipun tarikh diubah, Sabah MotoDay 9.0 masih mengekalkan konsep penganjuran yang sama dengan pelbagai pengisian termasuk ceramah keselamatan dan peraturan jalan raya, sesi perkongsian, pengisian rohani, khidmat masyarakat serta aktiviti sukan dan gaya hidup sihat.
"Program ini turut menjadi platform untuk menyampaikan mesej antidadah kepada masyarakat, khususnya dalam menghimpunkan peminat sukan dua roda menerusi satu program berskala besar di Sabah," menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama memaklumkan, bersempena Sabah MotoDay 9.0, Majlis Penutupan Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah bersama Skuad Dua Roda Antidadah Sabah turut akan diadakan.
Sehubungan itu, semua peminat sukan dua roda diseru hadir bagi memeriahkan program berkenaan serta memanfaatkan pelbagai pengisian yang disediakan.
Peserta dan pengunjung juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, selain mengutamakan aspek keselamatan ketika menunggang atau memandu demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Menurut kenyataan itu lagi, Sabah MotoDay 9.0 diharap terus menjadi wadah menyatukan komuniti sukan dua roda di negeri ini, di samping memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap agenda antidadah, keselamatan jalan raya dan amalan gaya
