Lelaki mengamuk hilang rantai motosikal, acu parang kepada keluarga

Suspek ditahan.polis selepas disyaki melakukan ugutan jenayah. Foto | Ihsan PDRM.

TAWAU: Seorang lelaki bertindak agresif dengan mengacukan parang terhadap ahli keluarganya selepas berang akibat kehilangan rantai motosikal dalam kejadian di Felda Umas 4, Kalabakan, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila suspek berusia dalam lingkungan 30-an tiba-tiba naik angin dan mengugut untuk mencederakan keluarganya.

Beliau berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Polis Bantuan Felda kira-kira jam 8 malam di rumahnya pada hari sama.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas dua bilah parang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Champin berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan penyalahgunaan dadah

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan melulu atau membahayakan keselamatan ahli keluarga sendiri hanya kerana isu kecil yang boleh diselesaikan secara baik.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama