Pemandu lori maut tersepit, kenderaan terbabas sendiri

Kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan terbabas sendiri di tepi jalan Kg. Mengaris Kota Marudu. (Foto ihsan Bomba)

KOTA MARUDU: Pemandu lori 10 tan membawa muatan pasir maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di tepi jalan di Kampung Mengaris, Kota Marudu, di sini pagi tadi.

Mangsa, lelaki berusia 68 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.49 pagi berhubung kejadian itu.

Tambahnya, seramai 10 anggota daripada BBP Kota Marudu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Terdapat seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 9.10 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama