![]() |
Seramai 30 peserta terdiri daripada penduduk di Parlimen Kalabakan telah mengikuti program yang diadakan dua sesi iaitu pagi dan petang. |
TAWAU: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan terus memainkan peranan membantu masyarakat meningkatkan kemahiran dan ekonomi bagi menangani golongan miskin tegar di daerah Kalabakan.
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim berkata rakyat perlu diberikan pendedahan dan peluang dalam pelbagai bidang supaya mereka mampu mencipta pendapatan sendiri.
Katanya, inisiatif ini adalah cetusan idea Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang mahukan rakyat terutamanya belia Kalabakan diberikan latihan kemahiran.
“Kita di peringkat Parlimen Kalabakan telah menyediakan banyak kursus dan latihan bersama pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta untuk merealisasikan matlamat mensifarkan miskin tegar.
“Alhamdulillah, setakat ini semua kursus-kursus seperti penternakan, pertanian, sembelihan, seni jahitan dan banyak lagi mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya daripada belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Suryady berucap dalam program Seni Jahitan Kreatif yang dianjurkan bersama Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia, di sini, hari ini.
Menurutnya, seramai 30 peserta terdiri daripada penduduk di Parlimen Kalabakan telah mengikuti program ini yang diadakan dua sesi iaitu pagi dan petang.
Saripudin berkata, matlamat kita menganjurkan kursus seni jahitan kreatif ini supaya semua peserta dapat menghasilkan produk sendiri dan menjadikannya sebagai satu kerjaya.
“Kita tidak mahu ia dijadikan satu hobi semata-mata kerana tujuan kursus ini supaya masyarakat di Parlimen Kalabakan mampu menambah pendapatan melalui seni kreatif yang dipelajari.
“Saya percaya dengan kapasiti Datuk Andi Muhammad Suryady sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah dapat membantu peserta sekiranya mahu memulakan perniagaan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri banyak membantu rakyat untuk memulakan perniagaan dengan geran-geran bantuan yang disediakan.
Katanya, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan juga akan membantu sekiranya semua peserta mahu meneruskan kursus ini sehingga betul-betul mahir.
“Kami juga akan meneliti cadangan untuk menubuhkan satu pusat seni kreatif di Parlimen Kalabakan bagi memudahkan peserta mendapat latihan lanjutan.
“Harapan saya supaya semua peserta dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dan lebih ramai belia akan mengikuti kursus ini pada akan datang,” katanya.