Sabah kaji dahulu keperluan pejabat JTU Ranau dinaik taraf atau bina bangunan baharu

Nizam dan Masidi berjabat tangan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengkaji terlebih dahulu berkenaan keperluan sama ada Jabatan Tanah Dan Ukur (JTU) Ranau perlu dinaik taraf atau membina bangunan baharu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata walaupun pihaknya belum mempunyai perancangan untuk membina pejabat JTU Ranau namun beliau juga menjelaskan telah memgambil maklum keadaan pejabat terbabit yang sempit dan kurang kondusif.

"Perkara ini akan dikaji terlebih dahulu sama ada ia perlu dinaik taraf atau mewujudkan sebuah pejabat baharu untuk JTU Ranau melalui permohonan projek di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Amisah Yassin sekiranya kerajaan negeri mempunyai rancangan membina pejabat JTU baharu dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab soalan tambahan ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum berkenaan status terkini pembinaan pejabat JTU Telupid.

Nizam berkata kerja penyiasatan tanah bagi mengenal pasti potensi bahaya tapak akan dilakukan pada awal tahun depan

"Mengenai status terkini pembinaan pejabat JTU Telupid, kerja-kerja penyiasatan tanah yang bertujuan mengumpul maklumat serta penilaian data untuk mengetahui potensi bahaya tapak akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada awal tahun hadapan.

"Sebaik sahaja kerja-kerja penyiasatan tanah dan tapak dikenal pasti, pihak JKR akan membuat reka bentuk bangunan dan anggaran kos bagi pembinaan bangunan tersebut," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama