Sebuah keluarga hilang rumah, enam kenderaan dalam kebakaran

 

Foto ihsan: Bomba Tawau

KALABAKAN: Sebuah keluarga terpaksa menanggung kerugian selepas rumah dan enam kenderaannya termasuk empat motosikal hangus terbakar di Felda Umas 03, Blok 5, di sini pagi tadi.

Bagaimanapun, semua penghuni rumah terbabit berjaya keluar menyelematkan diri tanpa sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai berhubung kejadian itu pada jam 10.28 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota BBP Tawau dan 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Umas dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi.   

“Setibanya di lokasi kejadian mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal, dua kereta dan empat motosikal sudah hangus terbakar.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua pancutan melalui sumber air daripada pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Jemishin berkata, setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, pasukan bomba kemudian menamatkan operasi pada jam 12.38 tengah hari.

“Pasukan forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama