
TAWAU : Pihak pendakwaan yang mengendalikan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, akan membuktikan bahawa si mati telah dipukul oleh kesemua 13 tertuduh sebelum kematiannya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif berkata, perbuatan itu dilakukan oleh kesemua tertuduh antara jam 9.00 malam pada 21 Mac 2024 sehingga jam 7.35 pagi pada 22 Mac 2024, di Bilik Asrama 7 Resak dan Bilik Asrama 5 Belian, di kolej berkenaan.
"Pendakwaan akan memanggil saksi-saksi terdiri daripada saksi-saksi mata, pegawai polis, pakar, serta bukti keadaan untuk membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan kes itu pada hari pertama perbicaraan pada peringkat pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Dalam prosiding kes itu, Nur Nisla berkata bedah siasat yang dilakukan oleh Pakar Perubatan Forensik ke atas mayat Si Mati pada 23 Mac 2024 mengesahkan bahawa punca kematian si mati adalah “Chest and Soft Tissue Injuries Due to Blunt Force Trauma” (kecederaan dada dan tisu lembut akibat objek tumpul).
Turut dipanggil pada prosiding hari ini ialah Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu, Ahmad Fakhrurazi Hamzah sebagai saksi pendakwaan.
Sementara itu, hakim, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dan semua pihak terbabit dalam perbicaraan itu turut melawat lokasi kejadian di Kolej Vokasional Lahad Datu, hari ini.
Keputusan lawatan itu dibuat Duncan yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan pada prosiding kes itu hari ini yang turut dihadiri barisan peguam dari pihak pembelaan.
Pada 13 Ogos lalu, 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pasukan Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif dibantu TPR Ng Juhn Tao bersama TPR Nur Batrisyia Mohd Khusri.
Manakala sembilan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, dan Chen Wen Jye, manakala dua remaja diwakili peguam Abdul Ghani Zelika serta dua lagi masing-masing diwakili peguam lantikan, Vivien Thien dan Jhasseny P Kang.
Pada 22 Mac lalu, Mohamad Nazmie Aizzat pelajar Program Bioteknologi ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu.Pada 22 Mac 2024 kira-kira jam 6.50 pagi.