![]() |
| Rolan, 28, dipenjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar 359.1 gram methamphetamine dua tahun lalu. Foto | SS |
TAWAU : Seorang bekas mekanik terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan selepas didapati bersalah mengedar 359.1 gram dadah jenis methamphetamine, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos memerintahkan tertuduh, Rolan, 28, menjalani hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap, iaitu pada 26 Februari 2024.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.
Dalam keputusannya, Steve berkata, keterangan yang dikemukakan membuktikan tertuduh ditangkap bersendirian dan siasatan mendapati dia berada di lokasi kejadian untuk bertemu seorang pembeli bagi urus niaga dadah berkenaan.
Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan tertuduh terbabit secara langsung dalam kegiatan mengedar dadah sebagaimana didakwa pihak pendakwaan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Mohamed Zaire Zainal Abidin memohon mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dengan menjatuhkan hukuman penjara, bukannya hukuman mati.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya anak guamnya yang masih bujang itu berpeluang meneruskan kehidupan selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat selaras dengan hasrat kerajaan dan badan perundangan dalam membanteras jenayah dadah menerusi penggubalan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
Selain itu katanya, hukuman yang bersifat pencegahan wajar dikenakan bagi mencerminkan ketegasan mahkamah terhadap kesalahan berkaitan dadah.
Mengikut pertuduhan, lelaki tempatan itu didakwa mengedar methamphetamine seberat 359.1 gram di tepi Jalan Ladang Sungai Balung, di sini, pada jam 7.30 malam, 26 Februari 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Sejurus prosiding selesai, suasana di luar bilik bicara bertukar pilu apabila ibu dan beberapa ahli keluarga tertuduh dilihat menangis serta memeluknya buat seketika sebelum dia diiring oleh anggota polis untuk dibawa ke penjara bagi menjalani hukuman.
