Rangka manusia ditemukan dalam parit di Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis sedang menjalankan siasatan selepas penemuan satu rangka manusia di kawasan parit di turunan bukit Taman Pertama 1 di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 daripada orang awam berhubung penemuan tersebut pada jam 10.53 pagi.

Menurutnya, sepasukan polis telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Rangka manusia yang ditemukan itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti mangsa serta punca kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

Sehubungan itu, katanya, polis memohon kerjasama mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau balai polis berhampiran, selain menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Lahad Datu, Ronney Lajius untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, Jimmy turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh mengganggu siasatan polis serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti rangka manusia yang ditemukan itu dan keadaan sebenar kejadian.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!