KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah di bawah pentadbiran Warisan ketika itu telah memberikan persetujuan terhadap cadangan kadar Pemberian Khas yang lebih rendah seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan kadar baharu itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan ketika itu dalam Belanjawan 2020, membabitkan RM53.4 juta bagi tahun 2020 dan 2021, RM80.1 juta bagi 2022 dan 2023, serta RM106.8 juta bagi 2024.
Menurutnya, kadar berkenaan telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri Sabah pada 16 Oktober 2019.
“Kerajaan Persekutuan telah menerima surat bertarikh 18 Oktober 2019 daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah yang menzahirkan keputusan Kerajaan Negeri Sabah pada masa itu bersetuju dengan kadar Pemberian Khas bagi tempoh 2020 hingga 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Riduan Rubin (Tenom) yang meminta penjelasan sama ada Kerajaan Negeri Sabah telah dirundingkan dan memberikan persetujuan secara bertulis terhadap peningkatan kadar Pemberian Khas seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020.
Anwar berkata, sebelum itu Pemberian Khas kepada Sabah kekal pada kadar RM26.7 juta sehingga tahun 2021.
Katanya, hasil kajian semula yang dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah serta diwartakan, kadar Pemberian Khas kepada Sabah kemudian dinaikkan kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kadar yang dicadangkan dalam Belanjawan 2020 itu tidak sempat dimuktamadkan menerusi proses pewartaan.
“Kerajaan Persekutuan baharu yang dibentuk pada 1 Mac 2020 kemudiannya memutuskan untuk mengkaji semula kadar Pemberian Khas seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan 2020,” katanya.
Jawapan Menteri Kewangan itu dilihat menafikan dakwaan sebelum ini bahawa persetujuan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu bukan membabitkan pemberian khas di bawah Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya menunjukkan persetujuan bertulis telah diberikan terhadap kadar yang dicadangkan dalam Belanjawan 2020.
Ketika ini, Sabah terus menikmati peruntukan pembangunan tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan sejak pentadbiran GRS, dengan jumlah meningkat daripada RM4.4 bilion pada 2022 kepada RM6.9 bilion tahun ini.
Peningkatan itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI mempercepat pembangunan Sabah selaras dengan semangat MA63, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur dan merapatkan jurang pembangunan.
