TERKINI:

Rumah separuh kekal musnah sepenuhnya di Kampung Torolobou

RANAU: Sebuah rumah jenis separuh kekal di Kampung Torolobou di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran pagi tadi.

Dalam kejadian itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.07 pagi sebelum anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.

Susulan itu, pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 8.15 pagi mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal sedang marak terbakar.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang terbakar 100 peratus.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan satu pancutan sepanjang 100 kaki menggunakan sumber air daripada jentera bomba,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.05 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.45 pagi.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain wujud di lokasi kejadian, pasukan bomba bertolak ke balai,” ujarnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW