TERKINI:

Hormati kuasa imigresen Sabah, jangan politikkan isu NAS - Azrul

KOTA KINABALU: Orang ramai diminta menghormati kuasa imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perlembagaan dan tidak mempolitikkan isu Notis Arahan Sabah (NAS) dengan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan negeri.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, tindakan menentukan sama ada seseorang individu dikenakan NAS dibuat berdasarkan penilaian risiko dan pertimbangan sewajarnya oleh pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang serta kepentingan keselamatan negeri.

Menurutnya, sebarang dakwaan kononnya keputusan itu dibuat secara sewenang-wenangnya adalah tidak tepat.

"Kita perlu menghormati pihak berkuasa dan mengiktiraf hak serta kuasa imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perlembagaan dan peruntukan berkaitan," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau turut menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Hamdin Nordin terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai keterlaluan.

Katanya, ketika ini Ketua Menteri sedang menunaikan ibadah umrah dan semua pihak sewajarnya menjaga adab serta merendahkan nada ketika mengulas isu berkenaan.

"Jika sekalipun ingin menjadi hero dalam isu ini, rendahkan sedikit laras bahasa dan hormatilah keadaan semasa," katanya.

Dalam pada itu, Azrul berkata, beliau sedang berkomunikasi dengan individu yang terlibat dalam isu berkenaan memandangkan beliau mengetahui ahli keluarga individu terbabit berada di Sabah.

Terdahulu, Hamdin Nordin menerusi satu hantaran di Facebook menggesa Ketua Menteri Sabah menghentikan tindakan yang didakwanya sebagai 'bacul' susulan isu melibatkan pelaksanaan Notis Arahan Sabah (NAS).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW