KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang notis pemakluman bagi penganjuran Perhimpunan Aman 'Gempur Rasuah 3.0' yang dijadual berlangsung di bandar raya ini pada 4 Julai.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, setakat ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hanya menerima satu notis pemakluman bagi penganjuran Perhimpunan Aman 'Bangkit Sabahan 2.0' yang dijadualkan berlangsung pada 5 Julai.
Menurutnya, sebelum sesuatu perhimpunan diadakan, pihak penganjur hendaklah mengemukakan notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah yang mempunyai bidang kuasa di kawasan perhimpunan itu.
"Setakat ini, IPD Kota Kinabalu telah menerima satu notis pemakluman berhubung penganjuran Perhimpunan Aman 'Bangkit Sabahan 2.0'.
"Bagaimanapun, sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang notis pemakluman daripada penganjur bagi Perhimpunan Aman 'Gempur Rasuah 3.0'," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak penganjur bertanggungjawab memastikan perhimpunan berlangsung secara aman, mematuhi semua peruntukan undang-undang, tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menghalang aliran trafik serta tidak menjejaskan keselamatan orang ramai.
Selain itu, katanya, penganjur juga perlu memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku sepanjang perhimpunan termasuk penyebaran kenyataan atau tindakan yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja), unsur hasutan, provokasi atau apa-apa perbuatan yang boleh mengancam ketenteraman awam serta keselamatan negara.
"Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Dalam pada itu, Syed Lot menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang boleh mengganggu pergerakan pengguna jalan raya serta menjejaskan kelancaran aktiviti harian di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
