TERKINI:

Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah perkasa tadbir urus biodiversiti dan agenda bioekonomi

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuhkan tadbir urus biodiversiti, agenda bioekonomi dan bioteknologi melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024-2034, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

"Pelan tindakan ini menjadi kerangka strategik negeri dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sabah secara bertanggungjawab dan berasaskan sains bagi menjana nilai tambah ekonomi, memperkukuhkan penyelidikan dan inovasi, serta membangunkan industri bioteknologi yang mampan.

"Melalui pelaksanaan pelan tindakan ini, Sabah berhasrat untuk menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi, di samping memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi dimanfaatkan secara lestari serta memberikan manfaat yang adil dan saksama kepada rakyat negeri ini," katanya.

Manakala, katanya tadbir urus biodiversiti terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif, termasuk pendigitalan sistem pengurusan dan perlindungan pengetahuan tradisi.

"Ini bagi memastikan khazanah ini terus terpelihara dan digunakan secara lestari untuk generasi kini dan akan datang," kata beliau pada majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia peringkat Sabah di Hotel Hilton di sini malam ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan Utiliti.

Tema Hari Biodiversiti Sedunia tahun ini "Tindakan Lokal, Impak Global" amat bertepatan dengan perjalanan Sabah dalam membuktikan bahawa tindakan yang dilaksanakan di peringkat tempatan mampu menghasilkan impak yang besar di peringkat antarabangsa.

"Sabah bukan sekadar sebuah negeri yang kaya dengan biodiversiti, malah merupakan antara wilayah yang memainkan peranan penting dan menyumbang dalam mencapai agenda pemuliharaan biodiversiti di peringkat global," katanya.

Buktinya, Sabah memperluaskan lagi Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) melalui pewartaan lebih kurang 216,000 hektar kawasan baharu melibatkan kawasan hutan simpan komersial dan tanah kerajaan.

Katanya, langkah ini akan meningkatkan keluasan TPA negeri kepada 2.227 juta hektar, bersamaan 30.06 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah Sabah sekaligus menyumbang dalam mencapai Sasaran 3 Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework iaitu menjelang tahun 2030, sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan pedalaman, marin dan pesisir pantai dilindungi dan diurus secara berkesan.

Ketua Menteri berkata Sabah terus menjadi destinasi utama penyelidikan biodiversiti.

"Hutan DaMal (Danum-Maliau-Imbak) yang terdiri daripada tiga kawasan iaitu Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau dan Kawasan Pemuliharaan Kanyon Imbak merupakan hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia yang menjadi tumpuan penyelidik tempatan dan antarabangsa.

"Peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri Sabah di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 juga membuktikan bahawa Sabah diiktiraf sebagai pusat utama bagi penyelidikan biodiversiti di rantau ini.

"Pelbagai penemuan penting melalui penyelidikan, termasuk penemuan spesies dan inovasi baharu, dokumentasi habitat kritikal dan pembangunan pendekatan pemuliharaan merupakan hasil daripada penyelidikan-penyelidikan yang telah dilaksanakan di Sabah," katanya.

Satu lagi detik bersejarah telah dicipta hasil penyelidikan biodiversiti di Sabah melalui Perjanjian Perkongsian Faedah (Benefit Sharing Agreement) yang pertama antara Kerajaan Negeri Sabah, bersama Botanickel Sabah Sdn. Bhd, pada bulan September 2025, katanya.

"Projek ini memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara efisien menggunakan teknologi fitoekstraksi yang inovatif, yang melibatkan penggunaan tumbuhan hiperakumulator dari Sabah untuk mengekstrak logam nikel daripada tanah.

"la dijangka memberi impak positif kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan, ekonomi dan kontrak pertanian jangka panjang dan integrasi ekopelancongan, selain memberi isyarat kepada penyelidik, pelabur, dan industri antarabangsa lain untuk meneroka potensi besar dalam bioekonomi negeri Sabah," katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan budaya penyelidikan dan inovasi, Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah diperkenalkan.

Anugerah ini adalah sebagai platform pengiktirafan kepada para penyelidik tempatan dan antarabangsa yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam memperkayakan pengetahuan saintifik berkaitan biodiversiti Sabah, katanya.

"Saya berharap anugerah ini akan terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat nama Sabah di persada dunia, selain menyumbang kepada usaha berterusan pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan lestari biodiversiti di peringkat lokal, nasional dan global," kata Ketua Menteri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW