TAWAU : Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar lebih satu kilogram dadah jenis methamphetamine di Terminal Feri Tawau, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Amriadi, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah mengambil kira fakta bahawa tertuduh ditangkap ketika cuba meninggalkan Malaysia, sekali gus menunjukkan keberanian dan tekad untuk melanggar undang-undang negara walaupun menyedari risiko ditahan ketika melalui pemeriksaan keselamatan di Terminal Feri Tawau.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak yang bekerja sebagai petani di Sulawesi Selatan didakwa mengedar methamphetamine seberat 1,078.9 gram di tempat pemeriksaan penumpang Terminal Feri Tawau pada 9.45 pagi, 11 Okt 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding yang bermula pada 10 Mac lalu, pihak pendakwaan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan hanya mengemukakan tertuduh sebagai saksi tunggal.
Dalam rayuan mitigasi, peguam Jhesseny P Kang memohon hukuman lebih ringan dengan memaklumkan tertuduh merupakan pesalah kali pertama, telah insaf serta menzahirkan rasa kesal atas kesalahan dilakukan.
Beliau berkata, dengan berkuat kuasanya Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain trend semasa menunjukkan mahkamah lebih cenderung mengenakan hukuman penjara.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif berhujah bahawa berat dadah yang dirampas kekal menjadi faktor utama yang perlu dipertimbangkan dalam penjatuhan hukuman dan memohon hukuman berat yang bersifat pencegahan demi kepentingan awam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika hendak menaiki feri dari Terminal Feri Tawau menuju Pelabuhan Nunukan, Indonesia. Pemeriksaan badan mendapati dia memakai bengkung hitam, manakala lima bungkusan mengandungi bahan disyaki methamphetamine disembunyikan di dalam seluar dalam wanita yang dipakainya, selain sejumlah lagi dadah ditemui pada tapak kasutnya.
Caption: Am Riadi, 40, dipenjara seumur hidup dan 12 kali sebatan kerana didapati bersalah mengedar lebih 1kg dadah, dua tahun lalu. Foto | SS.
.png)