TERKINI:

Sabah lancar dua sistem digital lindungi biodiversiti


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang memperkukuh tadbir urus biodiversiti negeri dengan menlancarkan dua sistem digital baharu iaitu Sabah Biodiversity Access and Export Licence Application System (SaBAES) dan Sabah Traditional Knowledge Information System (SATKIS).

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahemad Sade berkata, pembangunan kedua-dua sistem itu dilancarkan bagi mempertingkat kecekapan pengurusan sumber biologi serta melindungi pengetahuan tradisi masyarakat tempatan.

Menurutnya, SaBAES akan memperkemas proses permohonan lesen akses dan eksport sumber biologi negeri secara digital dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh pematuhan terhadap perundangan berkaitan akses kepada sumber biologi dan perkongsian faedah.

"SATKIS pula dibangunkan bagi mendokumentasikan serta melindungi pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi yang dimiliki anak negeri dan komuniti tempatan daripada penyalahgunaan atau eksploitasi.

"Melalui sistem ini, kerajaan komited memastikan manfaat hasil penggunaan pengetahuan tradisi dapat dikongsi secara adil dan saksama dengan komuniti yang menjadi pemiliknya," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian dan Pelancaran Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis berkenaan, Ken Kartina Khamis.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan prinsip Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) yang mengiktiraf hak komuniti tempatan sebagai pemegang pengetahuan tradisi serta rakan strategik dalam pengurusan sumber biologi negeri.

Dalam pada itu, Ahemad menambah Sabah turut mempunyai hala tuju jelas menerusi Strategi Biodiversiti Sabah 2024-2034 yang menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan usaha pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan biodiversiti secara lestari.

Katanya, strategi berkenaan menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0, selain menyumbang kepada pencapaian Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework, Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Tambah beliau, kejayaan Sabah dalam memelihara biodiversiti turut mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pelbagai status seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO, Rizab Biosfera UNESCO, Tapak Ramsar dan Pensijilan IUCN Green List.

"Pengiktirafan ini membuktikan usaha pemuliharaan biodiversiti di Sabah memenuhi piawaian antarabangsa hasil kerjasama erat antara kerajaan, institusi penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti tempatan dan sektor swasta," jelasnya.

Beliau turut menyeru semua pihak terus memainkan peranan dalam melindungi kekayaan biodiversiti Sabah agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang, selaras dengan tema sambutan tahun ini, 'Acting Locally for Global Impact'.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW