TERKINI:

Warga emas strok terselamat dalam kebakaran rumah kedai di Tawau

 

TAWAU: Seorang wanita warga emas yang menghidap strok berjaya diselamatkan orang awam sebelum sebuah rumah kedai yang didiaminya terbakar dalam kejadian di bangunan berhadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.21 petang. 

Katanya, seramai 15 anggota bersama beberapa jentera dari BBP Tawau dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira empat minit kemudian.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah unit rumah kedai sewa enam bilik di tingkat tiga bangunan jenis kekal berkeluasan 30 x 50 kaki.

"Kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus premis berkenaan, manakala sebuah unit stor bersebelahan turut mengalami kerosakan sebanyak 80 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang wanita warga emas berusia 68 tahun yang mengalami strok berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera tangki air serta pili bomba berhampiran.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.45 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan di lokasi kejadian," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
SayangSabah FOLLOW